Wednesday, June 10, 2009

Secebis Komentar

Memang benar tiada pihak yang berhak campur tangan dalam urusan dalaman PAS.Memang benar tiada siapa yang boleh menghalang atau mencegah presiden PAS daripada membuat lontaran idea "Kerajaan Perpaduan". Nah idea sudah dilontarkan dan umum sudah mengetahui.Media BN sudah mula dan akan terus memainkan isu ini.

Sudah terantuk baru nak terngadah.Itulah sikap segelintir pemimpin PAS. Apa nak buat lagi. Terlajak perahu boleh diundur terlajak cakap buruk padahnya.Itulah yang sedang berlaku.

Sekian.

Dari Presiden KeADILan

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
8hb Jun 2009

Saya bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) merakamkan ucapan tahniah kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana berjaya melangsungkan muktamar tahunan kali yang ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Syabas juga saya ucapkan kepada barisan pimpinan PAS yang baru sahaja terpilih di dalam muktamar tersebut.

Muktamar PAS tahun ini menyaksikan isu kerajaan perpaduan menjadi perhatian umum. Pelbagai spekulasi dan andaian telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berikutan dari ucapan dasar Presiden PAS.

KeADILan berpendirian adalah sebaiknya untuk kami menunggu penjelasan dari pimpinan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan mahupun sebarang bentuk perbincangan dengan Umno.

Sungguhpun begitu, kami tidak menghalang mahupun mempertikaikan hasrat mana-mana pihak untuk berbincang isu-isu yang membabitkan kepentingan nasional.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi komitmen KeADILan untuk memastikan Pakatan Rakyat sentiasa berada di dalam keadaan kuat dan utuh. Kami yakin rakan-rakan kami, PAS dan DAP juga mempunyai iltizam yang sama demi memastikan agenda perubahan terlaksana di Malaysia.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Alahai Nasa!

Hentikan kenyataan keliru, tiada hasrat bawa PAS kepada BN - Timbalan Presiden PAS
Nyza Ayob | Foto Wan Zahari Wan Mohd Salleh
Tue | Jun 09, 09 | 4:34:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bersetuju dengan saranan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali agar seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menghentikan segala kenyataan yang boleh mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat khususnya mengenai Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Jelasnya sewaktu dihubungi Harakah hari ini, isu kerajaan perpaduan ini telah menimbulkan banyak salah faham pelbagai pihak.

"Apa yang dimaksudkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah PAS tidak menutup ruang perbincangan dengan sesiapa dan tidak pula menyebut hendak membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Jadi, akibat daripada kekeliruan kenyataan ini, saya ingin menyebut sebagaimana saya nyatakan dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS, PAS tidak pernah mempunyai hasrat untuk membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional," tegasnya.

Nasharudin menjelaskan PAS tidak pernah membesarkan mengenai Kerajaan Perpaduan ini dan sehubungan itu katanya, tumpuan PAS ialah untuk memperkukuh parti dan Pakatan Rakyat serta bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil Manik Urai. Image

Sementara itu, Mustafa dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini merayu seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan kenyataan yang berkait dengan isu-isu yang boleh memberi kekeliruan kepada penyokong PAS khususnya berkaitan dengan kerajaan perpaduan.

"Saya menggunakan perkataan merayu kerana saya tidak ada autoriti untuk arah. Jadi saya merayu khususnya pimpinan PAS agar tidak ada sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan yang akan memberikan barangkali gambaran serta persepsi negatif.

"Tugas saya hari ini bersama jentera pilihan raya PAS ialah lawan dengan Barisan Nasional. Berbicara mengenai Kerajaan Perpaduan adalah tidak relevan pada waktu ini. Sebab apabila kita menggunakan apa istilah pun mengenai kerjasama ini, ia 'misleading'.

"Sebab kerjasama kita hari ini adalah dengan Pakatan Rakyat. Kalau 'engagement' ya. Kita nak bercakap dengan MCA dan MIC tidak ada masalah. Bercakap tidak salah,"katanya.

Dalam pada itu beliau turut memberi respons kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta PAS memberi penjelasan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan.

"Saya tidak salahkan Guan Eng membuat kenyatan itu. Saya tahu memang ada dilontarkan oleh Presiden PAS mengenai Kerajaan Perpaduan ini. Tapi ia hanya satu teori dan konsep. Pada saya sekadar melontarkan itu tidak salah,"katanya.

Jelas Mustafa, isu mengenai Kerajaan Perpaduan pernah dilontarkandalam mesyuarat PAS tetapi tidak pernah dibincangkan sehingga menjadi satu keputusan. Image

Mustafa juga menyatakan beliau dimaklumkan ada perbincangan antara Abdul Hadi dengan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tentang konsep Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut difahamkan Abdul Hadi, Anwar dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi memberi penerangan mengenai perkara tersebut.

"Saya tidak tahu apa respons Tuan Guru Nik Abdul Aziz selepas itu. Dan selepas itu berlaku peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib.

"Sebab itu, bagi saya mungkin Tuan Guru Abdul Hadi apabila beliau maklumkan perkara tersebut kepada Anwar sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, mungkin dia mengandaikan maklumat tersebut sampai kepada DAP.

"Tetapi apabila DAP mengatakan tidak tahu mengenai perkara ini, maknanya maklumat tersebut tidak sampai kepada DAP," jelasnya.

Beliau berpandangan, kenyataan yang timbul adalah disebabkan berlaku salah faham mengenai isu Kerajaan Perpaduan ini. Bagaimanapun katanya, isu ini tidak akan berbangkit setelah diberi penjelasan.

Justeru katanya, dalam perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Rakyat akan datang, isu mengenai Kerajaan Perpaduan ini akan dapat diterangkan oleh Presiden PAS. - azm _