Thursday, May 29, 2008

Hukum Karma untuk Mahathir

Anonymous
Hukum Karma untuk Mahathir
Thu May 29, 2008 5:32PM
161.142.94.161
Hukum Karma untuk MahathirDilulus terbit pada Thursday, May 29 @ 16:25:06 MYT
oleh reformis
Oleh saudaraPengulas"

"Saya sanggup dibicarakan dan dihukum penjara sekiranya memang terbukti saya bersalah. Tapi saya tidak rela dibicarakan oleh mereka kerana mereka memang tidak menyukai saya. Saya mahukan satu perbicaraan yang adil untuk mengadili saya", Kata Tun Dr Matahir dengan nada yakin tetapi mengharap. Atau mungkin merayu.Mari sama-sama kita ingat kembali apa yang telah berlaku 10 tahun lepas ketika Dr Mahathir masih di tampuk kekuasaan. Apa yang telah dia buat kepada timbalannya, Dato Seri Anwar Ibrahim? Dipecat dan difitnah dibawah konspirasi politik kotor dan terbesar negara. Bukan setakat dipecat, DSAI juga diaibkan kononnya seorang homoseksual. Kononnya kaki perempuan dan kaki rasuah. Kemudiannya apabila ditahan, ketua polis negara telah dengan 'berani'nya membelasah beliau di lokap polis.Adakah ketua polis ini akan berani bertindak sebegitu kejam andainya tanpa 'restu' dari bosnya? Tak tahulah bagi orang lain, tapi bagi saya, saya yakin perkara itu tidak akan berlaku sekiranya tiada lampu hijau dari atas. Kemudian ketika DS Anwar di dalam penjara, beliau tidak henti-henti diaibkan oleh media dan para pak menteri yang pada waktu itu tampak begitu 'setia' kepada Dr Mahathir.Yang paling hot ialah kisah tilam turun naik. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah dan melemahkan semangat DS Anwar Ibrahim. Agar selepas itu kononnya tenggelamlah gelombang reformasi yang telah diasaskan oleh tokoh penuh karisma itu. Agar berhentilah perjuangan menuntut perubahan itu.Lantas tanpa menunggu selesai perbicaraan pun, DSAI sudah mula dihukum dan dizalimi. Bukan setakat itu, belum pun bermula apa-apa perbicaraan, DSAI sudah menerima 'hukuman' yang pertama di dalam lokap polis pada malam ditahan walaupun pada akhirnya si ketua gengster itu telah dipenjarakan selama beberapa bulan akibat tekanan rakyat yang mahukan keadilan. Itulah hukum Malaysia Boleh ketika itu, yang memukul cuma dihukum penjara beberapa bulan dan yang dipukul dihukum penjara beberapa tahun.Hari ini, genap 10 tahun berlalu segala peristiwa itu. Si penguasa yang dahulunya angkuh di puncak kuasa yang dipegang selama 2 dekad akhirnya telah turun takhta. Kini tiada lagi kuasa politik yang membuatkan para pak angguk terus mengangguk. Pak menteri yang dulunya sentiasa 'mempertahan'kan dirinya, kini tidak lagi bersama. Malahan mereka turut sama menyerangnya. Rupanya tidak ada kesetiaan sebenar bagi mereka. Bekas penguasa selama 2 dekad itu akhirnya tinggal berseorangan. Hanya dibela oleh anak yang menjadi jurucakapnya di parlimen dan beberapa kerat penyokong tegar yang rata-ratanya sudah berusia lanjut seangkatan dirinya. Nak cari sokongan yang muda-muda jauh sangatlah. Yang datang ke majlis ceramahnya pun hanya yang tua-tua sahaja. Mereka ini masih lagi terkenang-kenang kisah perjuangan bersama mereka ketika masih muda-muda dulu lagi kot.Lain pula kisahnya dengan bekas timbalannya dulu. Bekas timbalannya yang pernah dipenjarakan. Yang kini bergelar banduan. Tapi banduan bukan sebarang banduan. Banduan yang 'dari penjara terbang ke istana'. DSAI semakin dihormati di mata dunia. Di barat dia berpengaruh, di tanah Arab dia disegani. Di negara-negara jiran dia disanjungi dan amat disenangi. Sering dijemput ke sidang-sidang ekonomi dan berkawan rapat dengan pemimpin-pemimpin besar dunia. Di Malaysia pula pengaruhnya tidak pernah pudar malahan karier politiknya terus bersinar. Yang tua dan yang muda terus menyokong. Bagi tokoh ini, dulu dia pernah naik ke tingkat nombor 2 negara dan pernah dijatuhkan sehingga tersungkur ke lubang penjara. Tetapi apabila dia keluar, dia bangkit kembali dan kini rakyat mahu mengangkatnya semula terus menjadi nombor 1. Inilah orang yang paling digeruni oleh Dr Mahathir. Sesungguhnya, dia tidak boleh menafikan bahawa dia sememangnya dari dulu lagi amat menggeruni pengaruh Anwar Ibrahim.Kini, Tun Dr Mahathir mahu disiasat di bawah kerajaan Abdullah Badawi disebabkan kes klip video VK LIngam. Dan yang menariknya, orang yang memulakan pendedahan klip video ini tidak lain dan tidak bukan adalah orang yang dulunya telah dijatuhkan Mahathir. Orang yang pernah dipenjarakan Mahathir. Orang yang pernah diaibkan Mahathir. Umur TDM sudah begitu lanjut. Tapi sekarang dikaitkan dengan pelbagai kes pula. Dia akan disiasat di mahkamah dan seluruh dunia akan memandang. Mampukah beliau mempertahankan sisa-sisa nama baiknya kepada dunia? Sempatkan nama dibersihkan atau adakah apabila dia mati nanti, nama yang tinggal adalah nama yang busuk dan buruk? Memang betul yang dikata, Mahathir mengejar waktu. Adakah ini hukum karma untuk Mahathir?

Permohonan Ezam sertai Umno perlu kelulusan MT: Muhyiddin

Permohonan Ezam sertai Umno perlu kelulusan MT: Muhyiddin

KANGAR: Permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor untuk menyertai Umno perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi (MT) kerana beliau “ada rekod”, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Katanya, MT perlu membuat pertimbangan itu kerana Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno. "MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika Umno kepada pemimpin Umno Perlis di sini hari ini.
Muhyiddin berkata Ezam tidak boleh diterima sebagai anggota parti secara automatik kerana rekod politiknya. "Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT,” katanya. Semalam, Mohamad Ezam yang menyertai PKR pada 1999 dan meninggalkan parti itu sejak April tahun lalu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno.
Penyerahan borang serta wang yuran keanggotaan seumur hidup berjumlah RM100 itu mendapat liputan meluas media massa, termasuk stesen televisyen. Muhyiddin hairan mengapa permohonan Ezam diberi liputan secara besar-besaran oleh media kerana menurutnya Umno adalah parti yang terbuka kepada semua orang Melayu dan Bumiputera untuk menyertainya. "Kita tak mahu sangka buruk (kepada Ezam). Terserah kepada beliau sendiri. "Beliau pernah jadi ahli Umno (kemudian) keluar dan masuk parti lawan. Lepas tu masuk balik. Orang kurang jelas apa sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata, sudah pasti Mohamad Ezam akan terbeban untuk membuktikan keikhlasannya menyertai Umno untuk membantu parti kerana keikhlasan itu terletak pada beliau sendiri. Semalam Abdullah dilaporkan berkata Mohamad Ezam menyertai Umno secara ikhlas dan tanpa syarat serta tidak akan diberi layanan istimewa. — Bernama

Pengerusi Gerakan WP terima tawaran Pakatan Rakyat Selangor

Pengerusi Gerakan WP terima tawaran Pakatan Rakyat Selangor

Datuk Dr Tan Kee Kwong
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong mengesahkan bahawa beliau menerima tawaran daripada kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengetuai pasukan petugas khas mengenai pengurusan tanah. Tan, 61, yang juga bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, mengikut jejak langkah bekas Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Lee Kah Choon yang menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi mengetuai dua agensi kerajaan negeri - investPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang. "Ya, saya sudah menerima tawaran untuk menjadi pengerusi bersama bagi pasukan petugas khas enam anggota. Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang memberi kepercayaan dan menggunakan pengalaman saya untuk menangani urusan tanah.
"Banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami telah diberi masa tiga bulan untuk mengemukakan laporan kepada Kerajaan Selangor berhubung hak milik tanah," katanya ketika dihubungi malam tadi. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas enam anggota yang dipengerusikan bersama oleh Tan dan Dr Nik Mohd Zain Nik Mohd Yusof. Tan adalah Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dari 1999 hingga 2004 manakala Mohd Zain adalah Ketua Setiausaha kementerian berkenaan dari 1996 hingga 2002. - Bernama