Saturday, May 31, 2008

Tajuddin vs Zaid

Tajuddin lwn Zaid: Lagi manifestasi kemelut Umno
A Kadir Jasin Sat May 31, 08 10:33:22 am MYT
PADA mulanya saya terfikir untuk menggunakan ungkapan "bertemu buku dengan ruas" bagi melabelkan serangan Ahli Parlimen Barisan Nasional Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Zaid Ibrahim. -->-->
Berucap di Parlimen pada 27 Mei, Tajudin meminta Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, menimbang semula pelantikan Zaid sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tajuddin menegaskan, tindakan Zaid yang menyerang secara terbuka di luar Dewan Rakyat terhadap ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dianggapnya menentang kerajaan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Tetapi setelah memikirkan jatuh bangun politik Tajuddin dan main-mainan politik Zaid, saya berasa adalah tidak tepat saya membandingkan Tajuddin dengan Zaid.
Lebih tepat kalau saya guna ungkapan "jauh langit daripada bumi" dan tanpa prejudis mungkin tidak keterlaluan jika saya sifatkan Tajuddin sebagai veteran politik radikal Umno manakala Zaid adalah manifestasi politik ambil peluang.
Mungkin banyak dari generasi muda Melayu, dalam dan luar Umno, tidak tahu bahawa Tajuddin adalah antara aktivis Umno yang gigih dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika Operasi Lalang pada tahun 1987.
Zaid pula adalah contoh produk Dasar Ekonomi Baru yang berjaya dan mendapat anjakan besar apabila Pentadbiran Dr Mahathir Mohamd melaksanakan dasar penswastaan pada pertengahan tahun 1980-an bermula dengan penswastaan Lebuh Raya Utara-Selatan.
Sebagai rakan kongsi sebuah firma guaman Bumiputera yang besar dan aktivis undang-undang, beliau dilantik untuk mewakili banyak syarikat dan individu Bumiputera yang terbabit dengan penswastaan dan dengan penyusunan semula harta Umno selepas krisis 1987/88.
Walaupun Zaid pernah mengepalai Persatuan Peguam Islam, beliau sebenarnya seorang liberal. Selepas gagal dalam percubaan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2004, Zaid menampilkan dirinya seorang liberal.
Sebagai seorang liberal, Zaid tentunya tidak dapat menerima apa sahaja bentuk kongkongan terhadap kebebasan sama ada dalam bentuk keagamaan, kebangsaan, perkauman, perlembagaan, perundangan atau ekonomi.
Ini jelas daripada kenyataannya sejak dilantik senator dan menteri bahawa dia tidak boleh menerima undang-undang yang "tidak adil" seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim boleh dianggap sebagai kemuncak kepada manifestasi pemikiran Zaid sebagai seorang liberal yang tidak mengakui wujudnya batas atau ciri perkauman dalam apa hal jua.
Justeru itu, jikalau hendak difikirkan perjuangan dalam Umno dan kepada orang Melayu, banyak orang pasti berasa bahawa Tajuddin lebih layak daripada Zaid untuk dilantik menteri.
Setidak-tidaknya Tajuddin dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu berbanding Zaid yang hanya dipilih oleh Addullah seorang sahaja.
Di pihak yang lain pula, apalah yang hendak dihairankan jika Zaid menyerang ahli-ahli Parlimen BN yang dianggapnya sebagai menentang kerajaan atau lebih tepat menentang Abdullah?
Zaid hanya setia dan terhutang budi kepada seorang ahli Umno dan pembesar BN sahaja iaitu Abdullah. Zaid naik bukan kerana ahli Umno atau pengundi. Dia naik kerana Abdullah melantiknya menjadi senator dan menteri. Jadi tidak menghairankan langsung jika dia menyerang sesiapa juga yang dianggapnya menentang Abdullah.
Walaupun Zaid menampilkan dirinya sebagai seorang liberal yang bebas daripada segala bentuk prejudis, dia tetap tidak terlepas daripada pengaruh Abdullah dan individu-individu di sekeliling Perdana Menteri yang berperanan memperakukan pelantikannya sebagai senator dan menteri.
Soalnya, apakah Zaid seorang liberal tulen yang tidak mengenal warna kulit atau seorang yang mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan yang sedang berlaku kepada Umno dan kerajaan sekarang?
Saya bertanya soalan ini kerana, seperti kata Tajuddin, Zaid turut menggesa BN serta Umno mengambil tindakan terhadap penyokong-penyokong kerajaan (yang dianggap menentang kerajaan).
Kalau Tajuddin menyifatkan tindakan Zaid itu sebagai "perbuatan yang memalukan," saya menganggapnya sebagai kekeliruan antara Zaid sebagai seorang liberal dengan Zaid sebagai seorang yang pandai mengambil kesempatan.
Kalau dia benar seorang liberal dan demokrat, dia tidak akan menghalang wakil-rakyat daripada bersuara. Sebagai wakil rakyat mereka dipilih oleh rakyat jelata dan bukan dilantik oleh Perdana Menteri. Tajuddin dipilih oleh 32,119 penyokong BN.
Masih segar di fikiran saya bagaimana Zaid yang sepatutnya bercakap bagi pihak Umno dalam perhimpunan agung ketika krisis perlembagaan 1993 tetapi "kecut perut" dan berhenti separuh jalan. - kadirjasin.blogspot.com.

No comments: